Tuesday, 14 April 2015

JANGAN ABAIKAN TANDA AWAL DIABETES



Memahami apa itu “neuropati” diabetes

Perkataan neuropati terbit daripada dua bahagian iaitu 'neuro' yang merujuk kepada saraf dan 'pati' iaitu penyakit. Kerosakan saraf yang disebabkan diabetes dipanggil neuropati diabetes. Neuropati periferal ialah satu keadaan yang melibatkan saraf-saraf di luar sistem saraf pusat, terutamanya pada tangan dan kaki.
Saraf merupakan talian perhubungan dalam tubuh kita. Isyarat elektrik daripada otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian tubuh dan seterusnya tubuh menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat ini ke otak melalui saraf.

Kebanyakan daripada saraf periferal bertanggungjawab memberikan perasaan yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu serta banyak lagi. Terdapat jutaan saraf yang terdapat di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda yang dicipta untuk mengelakkan anda daripada bahaya dan jauh daripada perkara yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.

Tahap keseriusan simptom kerosakan saraf akibat diabetes berbeza daripada seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Salah satunya anda mungkin berasa berdenyut-denyut atau kebas pada kaki dan tangan anda. Di samping itu, rasa terbakar dan tiada rasa juga ialah simptom biasa bagi kerosakan saraf. Kehilangan rasa juga sering membawa maksud anda mungkin tidak merasa kecederaan pada kaki. Sebagai contoh terdapat paku tekan atau batu kecil di dalam kasut anda dan anda terus berjalan sepanjang hari tanpa menyedarinya. Sesetengah orang juga akan berasa kesakitan yang tajam mencucuk manakala setengah orang pula merasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum.

Kemungkinan seorang penghidap diabetes akan mengalami pemotongan pada kaki adalah lebih besar berbanding dengan individu lain yang sihat. Ramai penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf akibat diabetes yang mengurangkan kepekaan rasa pada kaki dan menyebabkan mereka tidak sedar akan kecederaan yang mereka alami. Hal ini boleh membawa kepada pemborokan (ulser) kaki.
Ramai penghidap diabetes turut menghidap penyakit arterial periferal yang mengurangkan aliran darah ke kaki dan seterusnya melambatkan proses penyembuhan luka. Perkara ini akan meningkatkan risiko terjadinya jangkitan terhadap anggota yang lain. Semua masalah ini membuatkan pesakit mudah mendapat jangkitan yang teruk yang membawa kepada kerapuhan kaki.

Bagaimana kerosakan saraf akibat diabetes dirawat?

Langkah untuk merawat masalah ini adalah dengan memastikan tahap glukos dalam darah berada pada julat normal untuk membantu mencegah kerosakan saraf selanjutnya. Pesakit hendaklah sentiasa memantau tahap glukos dalam darah, pemakanan yang terancang dan aktiviti fizikal yang teratur serta ubat-ubatan diabetes atau insulin akan membantu mengawal tahap glukos dalam darah. Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi secara umumnya simptom-simptom akan berkurangan apabila terdapat pengawalan glukos yang baik. Pengawalan glukos dalam darah yang baik juga boleh mencegah atau melambatkan permulaan masalah-masalah yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment